Zahratur Rafiqah Mochamad Sandisi

“Biasiswa Pergas membantu saya merealisasikan impian saya dan saya pasti ramai lagi pelajar seperti saya telah meraih faedah melalui biasiswa ini.”

Zahratur Rafiqah Mochamad Sandisi

Penerima Biasiswa Pos-Siswazah (Post-Graduate Scholarship)

Setelah tamat pengajian peringkat sarjana muda selama 4 tahun di Universiti Jordan, Zahratur Rafiqah Binte Mochamad Sandisi, 25 tahun, terasa belum puas menuntut. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana di dalam jurusan Fiqh dan Usul Fiqh. Universiti Jordan menjadi pilihan beliau sekali lagi kerana sistem pembelajarannya yang baik dan juga para pensyarah yang berwibawa.

Namun untuk menampung kos pembelajaran dan pengajian di Jordan bukan mudah untuk bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah ini. Atas saranan seorang teman, Zahra mengambil keputusan untuk memohon biasiswa pos-siswazah yang ditawarkan Pergas kepada para asatizah dan graduan madrasah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat pos siswazah.

Selepas mendapat tahu bahawa permohonannya telah mendapat kelulusan, Zahra dapat menarik nafas lega kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pembelanjaan beliau di sana.

“Saya amat bersyukur sekali dan amat tersentuh. Pertama sekali, kerana dapat meringankan tanggungan bapa yang selama ini membiayai kos pengajian dan kehidupan saya di Jordan. Kos kehidupan di Jordan boleh dikatakan tinggi jika dibandingkan dengan negara timur tengah yang lain, tambah pula dengan yuran peringkat pos siswazah yang berlipat kali ganda tinggi berbanding dengan yuran peringkat sarjana muda. Dengan demikian, mendapat biasiwa merupakan berita gembira untuk saya serta keluarga”.

Kedua, bantuan biasiswa ini adalah satu motivasi dan pemangkin semangat untuk saya terus gigih menuntut ilmu kerana saya tahu bahawa minat dan usaha saya dalam mendalami dan memahiri ilmu agama mendapat sokongan dari badan Islam seperti Pergas dan masyarakat Islam setempat.” Ujar beliau.

Beliau berharap dapat menyumbang semula kepada masyarakat Islam Singapura selepas tamat pengajiannya. Zahra bercita-cita untuk menyumbang dari segi penulisan ilmu dan pemahaman dinamik mengenai perundangan Islam dengan dunia kontemporari. Beliau juga ingin berkongsi ilmu yang telah dipelajari sejauh ini dengan menyumbang tenaga sebagai seorang pensyarah.

“Biasiswa Pergas membantu saya merealisasikan impian saya dan saya pasti ramai lagi pelajar seperti saya telah meraih faedah melalui biasiswa ini. Sumbangan masyarakat melalui zakat bukan sahaja dapat membantu saya dan pelajar-pelajar yang lain dalam menampung kos kehidupan dan pengajian di universiti, ia juga menjadikan kami lebih tekun dalam menuntut ilmu dan lebih peka dengan amanah yang kami pikul.

Sumbangan zakat ini tidak terhenti dengan melahirkan seorang pelajar yang dapat memegang segulung ijazah sahaja bahkan hasilnya lebih berleluasa. Ini kerana ilmu yang diperolehi akan disampaikan dan disebarkan untuk manfaat dan kemakmuran masyarakat secara kesuluruhan. Dan sudah pasti, ia adalah sedekah jariyah yang pahalanya berterusan walau yang memberi sudah tiada. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyumbang dan membantu merealisasikan impian penuntut ilmu agama seperti saya.”

Help someone in need today