Home » Ustazah Samaniah Razi – Skim Bantuan Kewangan Asatizah
“Setiap derma yang kita bagi tu tak putus dan apa yang kita bagi, Allah akan bagi balik. Walaupun kalau kita bagi satu dolar, mungkin Allah bagi lebih. Kita derma dua dolar, mungkin yang datang pada kita lima dolar. Kalau tak duit pun, benda lain lah.”
Bagi penuntut Madrasah Aljunied sekitar tahun 80an hingga ke 2010, tentunya nama Ustazah Samaniah Razi tidak asing lagi buat mereka. Ustazah Samaniah yang merupakan alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah jurusan Bahasa Arab pada awal 80an, ‘setia’ mengajar di Madrasah Aljunied selama hampir tiga dekad.
Ustazah juga merupakan salah seorang penerima Skim Bantuan Asatizah (AFA) Pergas, yang diasaskan dengan tujuan menjaga kebajikan para Asatizah.
Walaupun kehidupan Ustazah tidak mewah, namun bibirnya sentiasa memanjatkan kesyukuran pada yang Maha Mencukupkan.
Pergas: Dah berapa lama Ustazah mengajar? Dari umur berapa?
Ustazah Samaniah:
Waktu sekolah saya mengajar juga, part-time dalam 6 bulan gitu, kemudian saya sambung belajar di Madrasah Aljunied,
Kemudian saya terus sambung belajar di Mesir. Saya belajar di Mesir daripada ’76 atau ’77, enam tahun di sana.
Sebulan sebelum saya pergi ke Mesir saya ada tolong taipkan Madrasah buku Ulum Quran. Dalam masa sebulan lebih dua bulan gitu. Kalau tak silap sebelum tu tulisan, jadi saya taip semula. Lama juga (Madrasah) pakai kitab Ulum Quran tu. Tapi sekarang tak tahu, rasanya tak pakai lagi.
Tahun ’82 rasanya atau ’83 (selepas pulang dari Mesir), saya terus mengajar sampai tahun 2010 kalau tak salah. Saya mengajar di Aljunied hampir 30 tahun. Kemudian saya pun tak berapa sihat, banyak MC. Memang tak berapa sihat lah sebenarnya.
Umur 59 saya mula duduk di rumah. Kebetulan pula suami tak sihat. Memang Allah dah atur. Saya berhenti dari mengajar, kemudian bulan satu saya dipanggil relief tiga bulan. Jadi lepas tiga bulan tu masuk April suami saya sakit. Kebetulan saya pun dah habis dari mengajar sementara, jaga dia sampai akhir hayat. Hampir dua tahun jugalah jaga. Cantik lah Allah atur, Alhamdulillah. Dia sakit teruk juga 10 hari di hospital, demam panas, nak kena jaga.
Kalau saya mengajar masa tu mungkin saya stres, mana nak jaga dia, mana nak pergi sekolah, mana nak buat kerja sekolah, kan? Kalau mengajar pun, mungkin saya banyak cuti lah. Pun tak bagus juga, kan? Jadi kebetulan saya dah berhenti mengajar, Alhamdulillah ada hikmah. Saya jaga suami sepanjang masa.
Selepas tu tak mengajar mana-mana. Cuma ajar ngaji di rumah dan tuisyen. Tu pun tak lama. Lepas suami saya meninggal, saya mengajar tuisyen 2 tahun je lepas tu saya tak nak lagi. Tak berapa sihat, selalu pening kepala. Tak (dapat beri) komitmen sepenuhnya. Jadi saya tak sambung mengajar lagi. Kalau nak minta tolong, datang (ke rumah), saya boleh bagi bantuan. Tapi kalau nak mengajar setiap minggu saya tak boleh, saya minta maaf. Takut saya tak mampu nanti sakit-sakit tak sihat, nanti orang bagi imbalan pada kita, kita tak mampu bagi (yang terbaik).
Pergas: Macam mana keadaan kesihatan Ustazah?
Ustazah Samaniah:
Macam gitu lah.. On off kadang-kadang sihat kuat, kadang-kadang letih. Tapi masih boleh lah nak masak. Nak pergi pasar saya tak boleh. Saya jarang pergi pasar, selalu kirim sepupu tolong belikan ataupun pergi bawah saja.
Tapi jantung saya ni, nak cakap teruk, tak adalah juga macam kata orang bahaya.. Doktor pun tak ada suruh buat operation. Tak ada makan ubat banyak, satu je, tu pun kalau rasa tak selesa (baru) makan. Dah dua tahun tak perlu makan ubat hari-hari, bila perlu je makan. Sebelumnya memang satu hari tiga kali. Mungkin doktor tengok macam tak bahaya. Alhamdulillah.
Pergas: Adakah Ustazah rindu nak mengajar di Madrasah?
Ustazah Samaniah:
Rindu, mestilah.. (ketawa kecil) Tapi tak mampu, sekadar rindu saja.. Kalau untuk nak mengajar memang tak adalah.. Tak mampulah nak duduk lama-lama. Tak usah nak kata mengajar menyampaikan, duduk lama je tak tahan. Cuma kalau terpaksa, boleh juga lah. Dua jam, tiga jam boleh duduk tapi tak boleh diri banyak. Gerak sana sini kena duduk balik. Tapi nafas tak bagus, kalau nak menyampaikan tu nak kena pakai microphone.
Kalau nak suruh ajar ngaji, tanya-tanya boleh lah, kalau untuk mengajar memang saya minta maaf lah.. (ketawa kecil) Lagi sekarang dah macam-macam, anak-anak sekarang dah bijak-bijak lah, lagi bijak cari di mana-mana. Nak belajar Bahasa Arab pun boleh di Google. Nak latihan, tamrin pun boleh Google.
Pergas: Apa kenangan terindah Ustazah mengajar di Madrasah?
Ustazah Samaniah:
Mengajar ni, seronoknya tulah, dapat sampaikan apa yang kita tahu. Dapat sampaikan kepada pelajar, tunjuk ajar. Didik anak-anak, kan? Itu indah lah. Tapi kalau macam anak-anak murid tu, biasa lah nakal-nakal tak dengar cakap, tak dengar apa yang kita ajar, itu tak terasa sangat lah pahitnya. Tapi yang indahnya, yang seronoknya, tulah bila anak-anak habis belajar mereka dah kerja, dah sambung belajar lagi, tu yang paling best sekali.
Pergas: Masih ada tak pelajar yang ingat/contact/ziarah Ustazah sampai sekarang?
Ustazah Samaniah:
Ada, Alhamdulillah.. Ada lah beberapa. Kalau Hari Raya tu Alhamdulillah lah ramai juga dalam 15-20 orang. Kalau (yang sekarang dah jadi) ustaz-ustaz tu, selalu Ustaz Roslan, Ustaz Syed Mustafa, Ustaz Nuzhan. Ustaz Nuzhan kalau datang mesti dengan family. Lagi satu, Ustaz Raja Muzhaffar.. Alhamdulillah. Kalau mereka datang tu, rasa bahagia. Apa kata orang, sebak.. Masya Allah, murid ingat lagi.. Dulu pelajar, sekarang ni dah sama status mengajar. Dah jadi ustaz, lebih baik dari kita.
Macam seorang ibu lah.. Ibu kalau tengok anak-anak berjaya, jadi orang.. (ketawa kecil) Bahagia, kita pun macam tu lah juga. Sangat-sangat tumpang gembira. Selalu saya cakap dengan pelajar kalau saya ni cuma guru je gembira, ibu awak lagi gembira. Kalau saya ni cuma guru je awak belajar tak bagus, tak berjaya, gagal, sedih.. Ibu awak lagi sedih. Saya selalu cakap sebaik mungkin berusaha untuk berjaya, bahagiakan org tua. Alhamdulillah ada yang dengar juga.
Pergas: Apakah perasaan ustazah apabila Pergas kedepan untuk membantu para asatizah seperti ustazah?
Ustazah Samaniah:
Alhamdulillah syukur lah juga bagi saya sebab saya tak ada anak. Bila tak kerja, tak mengajar tu.. Alamak dalam hati saya ada terfikir juga pendapatan tak ada. Bila ada bahagian dari Pergas tu, Alhamdulillah.. Rasa tak risau sangat. Tak banyak pun, sikit ada juga lah bantuan. Kata orang untuk tambah-tambah. Kalau orang ada anak lain sikit. Kalau yang tak ada anak ni terasa macam.. Macam mana eh? Kadang terfikir juga macam mana, tapi Allah Maha Mengetahui semuanya rezeki kita. Saya selalu yakin, insya Allah ada bantuan. Di mana ada keyakinan, di situ ada bantuan.
Kakak ipar selalu tanya, macam mana, cukup tak belanja, selalu pergi hospital, pergi check-up? Adalah cakap dengan kakak ipar, insya Allah ada lagi boleh survive lah (ketawa kecil) untuk empat, lima bulan ke depan, insya Allah boleh survive. Alhamdulillah cukup. Saya mengajar-mengajar ngaji sikit-sikit tu Alhamdulillah lah.
Pergas: Ustazah ada sebarang ucapan yang ingin disampaikan kepada para penderma yang terus menyokong Pergas dalam menjaga kebajikan para asatizah?
Ustazah Samaniah:
Setiap derma yang kita bagi tu tak putus dan apa yang kita bagi, Allah akan bagi balik. Walaupun kalau kita bagi satu dolar, mungkin Allah bagi lebih. Kita derma dua dolar, mungkin yang datang pada kita lima dolar. Kalau tak duit pun, benda lain lah.
Kebahagiaan ke kegembiraan ke, berita apa-apa lah yang membahagiakan. Kata-kata yang baik dari orang (lain) yang membahagiakan kita, yang boleh menambahkan amal ibadah itupun satu rezeki juga. Bagi saya tu pun rezeki lah.