USTAZAH JUMA'AH MOHD ALI

Ustazah Juma’ah, yang sedari dulu juga aktif mengajar sambilan di Pergas, turut merasakan bahawa skim bantuan bagi asatizah merupakan suatu inisiatif yang baik dari Pergas dalam usaha untuk menjaga kebajikan para asatizah.

Ustazah Juma'ah Mohd Ali

PENERIMA BANTUAN KEWANGAN asatizah (AFA)

Para pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dari lewat 80an hingga ke 2016 pastinya mengenali Ustazah Juma’ah Mohd Ali. Tentunya ramai anak murid yang mengingati didikan Ustazah yang sering memberikan nasihat-nasihat ketika mengajar.

Sejurus tamat pengajian peringkat sarjana muda jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar pada tahun 1982, Ustazah berkhidmat di Jamiyah selama beberapa tahun dan kemudian di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah sebelum mula mengajar di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah. Di madrasah yang dahulunya terletak di 6 Ipoh Lane itu, Ustazah Juma’ah mengajar subjek Fiqh, Faraid, Aqidah dan Sejarah Islam bagi peringkat menengah dan Bahasa Arab, Sejarah Sastera Arab serta Teks Sastera Arab di peringkat Pra-Universiti.

Selepas bersara dari mengajar sepenuh masa, Ustazah masih mengajar secara freelance di beberapa buah masjid tempatan, selain Pergas. Namun, Ustazah dikejutkan dengan berita menghadapi barah payudara ketika menjalani pemeriksaan kesihatan pada tahun 2017. Ketika itu, Ustazah memutuskan untuk menjalani rawatan alternatif setelah menyaksikan sendiri ahli keluarganya kembali pulih selepas menjalani rawatan tersebut.

Namun, ternyata pemeriksaan selanjutnya pada tahun 2020 menunjukkan bahawa tahap kesihatan Ustazah semakin merosot dan telah berada di barah peringkat ketiga. Keluarganya memutuskan untuk Ustazah menerima rawatan dari sebuah hospital privet dengan kos rawatan yang tinggi, sebahagian besarnya dibayar dengan wang tunai.

Mujur, selama hampir empat dekad Ustazah berkhidmat mencurahkan ilmu kepada para pelajar, Ustazah mendapat tokokan MediSave yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan tersebut.

 

Doktor menganggarkan bahawa Ustazah perlu menjalani sebanyak 12 kitaran kemoterapi yang akan mengambil masa lebih kurang enam bulan bagi menyiapkan Ustazah menghadapi pembedahan, yang menelan belanja sebanyak $20,000 hingga $30,000.

Sejak akhir tahun lalu, Ustazah telah menjalani kemoterapi tersebut sebanyak seminggu sekali. Mulai dari 23 Februari lalu, Ustazah telah menjalani kemoterapi secara intensif; sekali setiap dua minggu dan dijangka akan berakhir menjelang bulan Ramadan nanti, manakala pembedahan tersebut akan berlangsung selepas bulan puasa.

Ustazah Juma’ah, yang sedari dulu juga aktif mengajar sambilan di Pergas, turut merasakan bahawa skim bantuan bagi asatizah merupakan suatu inisiatif yang baik dari Pergas dalam usaha untuk menjaga kebajikan para asatizah.

MARI JAGA KEBAJIKAN ASATIZAH KITA