Home » Ustaz Muhammad Ramdhan Mohamad – Pakej Rahmah
Atas dasar memastikan kebajikan para asatizah bebas dan sambilan seperti Ustaz Muhammad Ramdhan terus terjaga dalam pandemik Covid-19 yang menjejas ekonomi inilah, Pergas telah melancarkan Pakej Rahmah pada tahun lalu, yang turut menyaksikan sumbangan sama masyarakat menerusi crowdfunding.
PRIHATIN. Itulah yang dirasakan Ustaz Muhammad Ramdhan Mohamad, selepas satu sesi pertemuan dengan bekas para pelajarnya. Mereka yang rata-rata merupakan graduan pengajian Islam universiti luar negara dan berkelayakan untuk mengajar, bekerja sebagai pemandu penghantaran. Apabila ditanya, jawapan yang diberikan adalah tiada kekosongan jawatan, atau gaji bulanan yang ditawarkan tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian di Singapura.
Ketika beliau mengajar di rumah-rumah pula, ramai yang mengeluh akan keterbatasan jumlah asatizah untuk dijemput mengajar di rumah mereka.
Atas sebab itulah, Ustaz Muhammad Ramdhan bertekad menghubungkan jurang tersebut dan meninggalkan kerjaya demi menubuhkan Ta’lim Institute, yang menawarkan khidmat asatizah ke rumah bagi pembelajaran subjek-subjek berkaitan agama.
Sebelum ini, Ustaz Muhammad Ramdhan yang mempunyai tiga orang anak bertugas sebagai pendidik di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah selama 10 tahun sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya pada Ta’lim Institute serta pembangunan aplikasi dan lelaman bagi institusi tersebut. Usaha ini turut disokong oleh isterinya, yang bekerja sebagai pegawai makmal di A*Star dan pemilik bersama Ta’lim Institute.
Aplikasi itu akan membolehkan para pengguna ‘menempah’ asatizah mereka serta pilihan subjek yang ingin dipelajari, dan akan dipadankan dengan tenaga pengajar mengikut kesesuaian waktu yang ditetapkan.
Dengan wadah sedemikian, bekas para pelajarnya boleh mengajar di samping menjana pendapatan tambahan jika mereka mengambil ‘tempahan’ kelas, sama seperti sistem perkhidmatan penghantaran makanan yang menawarkan insentif pada pemandu setelah selesai khidmat penghantaran. Di samping itu, Ustaz Muhammad Ramdhan ingin memberikan ruang bagi bekas para pelajarnya serta graduan-graduan pengajian Islam lainnya menyumbang kembali kepada masyarakat, dan peluang bagi masyarakat untuk mendapatkan akses kepada pengajian agama dari keselesaan rumah mereka sendiri.
Selain menguruskan Ta’lim Institute, Ustaz Muhammad Ramdhan merupakan pensyarah sambilan di Kolej Islam Muhammadiyah (KIM) dan Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).
Menurut Ustaz Muhammad Ramdhan, Ta’lim Institute menawarkan pengajian Bahasa Arab secara khusus dan pengajian serta tuisyen subjek-subjek berkaitan agama secara umumnya, bagi pelajar semua peringkat umur tanpa had bermula dari kanak-kanak pra-sekolah.
Daya tarikan Ta’lim Institute yang membezakannya dari pusat-pusat pengajian lain ialah ia sesuai bagi pelajar yang mempunyai kekangan masa untuk mengikuti pengajian secara tradisional atau hadir secara fizikal bagi sesebuah kelas.
Ustaz Muhammad Ramdhan juga turut melakarkan kurikulum tersendiri bagi setiap subjek.
Atas dasar memastikan kebajikan para asatizah bebas dan sambilan seperti Ustaz Muhammad Ramdhan terus terjaga dalam pandemik Covid-19 yang menjejas ekonomi inilah, Pergas telah melancarkan Pakej Rahmah pada tahun lalu, yang turut menyaksikan sumbangan sama masyarakat menerusi crowdfunding.
Sambutan yang menggalakkan itu juga mendorong Pergas untuk berkolaborasi dengan MUIS dan memperkenalkan Pakej Rahmah Khas pula pada September tahun lalu.
Pakej tersebut menawarkan bantuan sekali sahaja sebanyak $400 bagi para asatizah bebas atau sambilan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Sebagai seorang pensyarah bebas, Ustaz Muhammad Ramdhan telah menerima SMS dari Pergas, yang menyatakan kelayakannya serta menggalakkannya untuk mendaftarkan diri bagi Pakej Rahmah Khas.
Beliau amat bersyukur ketika menerima sokongan kewangan tersebut, yang membantu untuk menampung perbelanjaannya ketika langkah-langkah sekatan diumumkan.
Ketika pemerintah mengumumkan pemutus litar, Ta’lim Institute mengambil pendekatan untuk menawarkan kelas-kelas pengayaan bagi ibubapa yang tidak berbahasa Arab namun mempunyai anak-anak di madrasah.
Kelas tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan dari para ibubapa.
Kini, Ta’lim Institute mempunyai sekitar 7 orang asatizah yang menjalankan sekitar 20 sesi pengajian setiap minggu.
Ustaz Muhammad Ramdhan turut bercita-cita untuk mengembangkan institusi tersebut dengan memiliki pakar IT dan kewangan tetap bagi pembangunan aplikasi dan lelaman, selain kumpulan asatizah sambilan sedia ada.
Sebelum tertubuhnya Ta’lim Institute, Ustaz Muhammad Ramdhan mengiklankan khidmat pengajiannya menerusi aplikasi Carousell, dan seterusnya berhubung dengan para pelajar menerusi WhatsApp.
Bagi menyesuaikan keadaan dengan norma baharu, beliau turut menawarkan pengajian secara dalam talian, yang rata-rata mendapat sambutan dari para pelajar.
Bahkan, pengajian di KIM dan IPIP juga diteruskan secara dalam talian sepanjang pemutus litar.
Sokongan masyarakat amat penting dalam memastikan asatizah dapat berkhidmat dan berdakwah secara berterusan. Dengan pengumuman pemerintah yang ingin melonggarkan langkah kawalan secara bertahap, Pergas juga memperkenalkan inisiatif terbaru susulan dari Pakej Rahmah; Pakej Rahmah Khas – Dana Keupayaan IECP, yang menyokong para asatizah bebas atau bekerja sendiri serta pusat-pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP) khususnya.
Dana tersebut dilancarkan dengan tujuan untuk terus menyokong dan memampankan IECP sedia ada, agar ruang pekerjaan bagi para asatizah bebas dan sambilan terus terjamin dan bahkan diperluaskan walaupun dalam suasana ekonomi global yang merudum, seperti yang diusahakan oleh Ustaz Muhammad Ramdhan menerusi Ta’lim Institute.
Antara lain, Dana Keupayaan ini menyediakan khidmat perundingan digital percuma, seperti pembelajaran dalam talian, pemasaran serta penghasilan bahan digital, dan sokongan kewangan kepada IECP untuk membantu mereka mengekalkan tenaga pengajar.
Pergas menyasarkan pengumpulan dana sebanyak $700,000 melalui usaha crowdfunding, di mana kesemua hasil kutipan akan disalurkan kepada inisiatif ini.
Sumbang ke Pakej Rahmah Khas sekarang di https://www.pergas.org.sg/special-gracious-package-crowdfunding/.