Asatizah Tunjang

Asatizah tunjang kejayaan hidup beragama di Singapura

 

Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid

Imam Eksekutif dan Ketua Pembelajaran Islam di Masjid Al-Iman

Berita Minggu | 15 January 2017

 

"ALO sini ada olang duduk tak?" sergah nyonya yang sudah berusia lingkungan 70-an tahun.

Beliau yang sedang membawa makanannya mencari tempat duduk berkata kepada sepasang suami isteri yang baru pulang dari masjid dan sedang menikmati juadah yang sudah ditempah 10 minit yang lalu.

Dengan nada mesra pasangan itu menjawab:

"Silakan sini takda orang duduk auntie."

Apabila dilihat kehidupan di Singapura secara individu daripada pelbagai bangsa dan agama secara dasarnya ia boleh dikatakan tidak memiliki masalah.

Mereka dapat hidup bersama seiring dengan perjalanan hidup sosial yang sedia ada.

Begitulah kehidupan di negara kita, contohnya makan semeja berlainan bangsa dan agama bukanlah menjadi satu perkara yang asing.

Malah, ia menampilkan kehidupan masyarakat yang harmoni dan bersatu. Asalkan saling hormat-menghormati dan berpegang teguh dengan ketetapan batasan-batasan yang digaris pandu agama.

Jika dahulu kita merasakan bahawa duduk semeja bersama orang yang berbangsa asing dan berlainan agama dengan kita merupakan satu perkara yang janggal, kini ia sudah menjadi satu perkara yang biasa, malah banyak lagi contoh yang boleh ditonjolkan membawa maksud agama Islam itu agama yang membawa rahmah dan kasih sayang sesama makhluk khasnya di Singapura ini dan amnya di luar negara.

Peranan Asatizah

Dunia berubah, masa pun berputar dengan pantasnya.

Kehidupan di negara seperti di Singapura ini, keutamaan meraikan hidup aman damai berbilang bangsa dan agama berkembang dengan pesatnya.

Sebahagian kejayaan ini adalah berkat daripada ilmuan agama dari dahulu hingga kini yang dengan penuh berdedikasi dan gigih telah memastikan semaian ilmu agama yang diraih dan disampaikan kepada masyarakat Islam bersesuaian dengan konteks keamanan dan rahmah buat keluarga dan masyarakat.

Rasulullah saw bersabda:

"Ulama adalah pewaris para nabi." (Riwayat At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda)

Dengan ini kita dapat fahami, bagi meneruskan warisan Baginda Nabi saw, ilmu agama itu perlu dipelajari dengan tekun, fokus dan kefahaman yang mendalam.

Perkara ini tidak akan tercapai andai kesibukan tugas harian kita di dunia ini lebih diutamakan daripada mendalami kefahaman ilmu agama tersebut.

Maka keperluan untuk adanya mereka yang meneruskan dan menjadi pewaris ilmu itu diperlukan dari masa ke masa.

Dengan ini lahirlah sebahagian golongan ilmuan dan asatizah yang meneruskan warisan yang berharga ini.

Ia bertujuan agar apa yang diraih dapat dikongsikan bersama masyarakat Islam di Singapura.

Jika tidak ada dalam kalangan mereka yang ingin meneruskannya, maka akan pupuslah warisan ilmu agama yang bertepatan di dalam kehidupan kita suatu hari nanti.

Rasulullah saw mengisyaratkan perkara ini dalam sabdanya yang diriwayatkan Abdullah bin 'Amr ibnul 'Ash, katanya:

"Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan (diwafatkannya) ulama sehingga jika Allah tidak mengekalkan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang yang jahil. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan." (Riwayat Al-Bukhari)

Keperluan Menyokong Pembangunan Ilmu

Oleh yang demikian, meninggalnya seorang yang alim di dunia ini akan menimbulkan bahaya bagi umat.

Keadaan ini menunjukkan adanya ulama di tengah kaum Muslimin akan mendatangkan rahmat dan barakah daripada Allah swt kerana merekalah merupakan peneraju dan penerus dakwah Nabi saw.

Dapat diakui kejayaan sesebuah negara terletak di atas kejayaan kesatuan rakyatnya dan kesatuan rakyat tidak akan dikecapi dengan tanpa pengukuhan keluarga.

Keutuhan keluarga pula tidak dapat terlaksana tanpa sulaman ilmu agama yang bermanfaat.

Maka dengan itu, apakah peranan kita? Adakah kita juga ada peranan membantu melahirkan kejayaan buat generasi sekarang dan mendatang?

Atau kita hanya pasrahkan diri dan berpeluk tubuh mengikut arus gelombang kehidupan yang serba moden dengan tanpa menggunakan kaca mata ilmu agama?

Peranan Zakat

Maka antara peranan zakat dalam kehidupan membina masyarakat yang berilmu amat penting bagi membantu melahirkan lagi lebih ramai generasi asatizah dan ilmuan yang dapat mengkaji dan menelusuri ilmu agama yang dapat dikongsi sama dengan masyarakat.

Ia bukan sahaja daripada perspektif ilmu agama itu sendiri, malah antara peranan zakat juga bagi menaik taraf asatizah dan ilmuan Islam dengan pendedahan dan perkembangan ilmu duniawi dan kontemporari.

Ini agar setiap pandangan dan keperluan agama yang dikeluarkan diambil kira daripada sudut keadaan dan keperluan semasa.

Imam Syafii ra contohnya, apabila beliau berada di Iraq ada sebahagian fatwa atau pandangannya (Qaul Qadim) berbeza daripada ketika beliau berada di Mesir (Qaul Jadid).

Antara sebabnya adalah kerana mengambil kira keadaan dan situasi yang berbeza.

Akan tetapi beliau juga tidak memberikan pandangan dengan sesuka hati.

Ia dilandaskan mengikut prinsip, adab dan garis pandu ilmu yang telah ditetapkan oleh ulama.

Di Singapura, zakat memainkan peranan besar dalam pembangunan golongan asatizah dan ilmuan masyarakat.

Sebahagian agihan Fisabilillah diguna bagi membangunkan modal insan golongan asatizah yang mengajar di madrasah setempat.

Menerusi Riqab, wang zakat diguna sebagai Biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi menampung keperluan pendidikan pelajar yang memerlukan, baik dalam bidang ukhrawi mahupun sekular.

Hikmah Berzakat

Kita juga perlu sedar, di dalam melaksanakan rukun Islam (zakat) ini ada banyak menyimpan hikmah yang telah dikongsi oleh para ilmuan agama.

Antaranya zakat dapat membersihkan hati daripada sifat kotor, kedekut dan bakhil.

Dalam surah At-Taubah ayat 103 Firman Allah swt yang bermaksud:

"Ambillah zakat daripada sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Zakat juga dapat membersihkan harta daripada kotoran yang haram dan syubhah (sumber yang samar-samar/meragukan). Ia juga dapat menghidupkan rasa kebersamaan dan saling tolong-menolong di antara manusia dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru, ia juga dapat menanamkan rasa saling kasih-mengasihi bagi menyokong antara satu dengan yang lain.

Kesedaran Buat Kita

Bagi yang meninggalkan zakat pula, Allah swt mengancam keras terhadap orang yang meninggalkan kewajibannya dengan firman-Nya:

"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Ali Imran: ayat 180)

Moga dengan berzakat bukan sahaja terlaksana tanggungjawab kita sebagai seorang yang beriman, malah terlaksana juga tanggungjawab kita menyinari mereka yang menjadi tulang belakang dalam medan agama untuk membangunkan masyarakat yang berilmu, beribadah, beramal dan berakhlak mulia.