Beban Asatizah

TUGAS mereka membantu mengisi ilmu ukhrawi di dada.

Namun, sebagai manusia biasa, mereka juga tidak dapat lari daripada kegetiran ujian kehidupan

Ada yang ditimpa penyakit kronik, ada yang tidak dapat lagi bekerja ekoran tahap kesihatan, ada yang tidak punya pendapatan stabil, ada yang mahu melanjutkan pengajian namun terbantut ekoran keterbatasan sumber kewangan dan ada pula yang kini meniti usia senja.

Meskipun dengan keadaan hidup mencengkam, sebahagian besar golongan asatizah keberatan memohon bantuan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang memperuntukkan skim Bantuan Kewangan Asatizah (AFA) sejak 2012 dalam usaha persatuan tersebut menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan asatizah.

"Saya sendiri segan nak minta bantuan sebab saya fikir mungkin ada yang lebih memerlukan," akui Ustaz Mohamad Hamzah Mohamed Amin, 43 tahun, yang menghidapi penyakit semput, sinus kronik sehingga terpaksa dibedah dan penyakit kulit, psoriasis.

Keadaan kesihatan bapa empat orang anak berusia antara enam dengan 13 tahun itu mendapat perhatian di kalangan teman dan asatizah yang kemudian merujuknya kepada Pergas. Setelah mengetahui keadaannya, persatuan itu kemudian menampung kos bil rawatan hospital Ustaz Mohamad Hamzah.

Eksekutif Kebajikan dan Keanggotaan Pergas, Ustazah Nurul Hidayah Kamis, berkata: "Skim AFA ini bertujuan menyediakan sokongan kewangan dan moral kepada asatizah kita yang berhadapan masalah kesihatan kronik dan cabaran kewangan.

"Kami berharap bantuan ini dapat melegakan asatizah semasa melalui detik sukar. Asatizah di bawah skim AFA kami semuanya telah menyumbang atau masih menyumbangkan masa, pengetahuan dan tenaga mereka ke arah pendidikan Islam dan pembangunan kerohanian masyarakat Islam di Singapura."

Ketika ditemui di flatnya di Yishun Avenue 11, Ustaz Mohamad Hamzah - yang sudah mengajar agama sejak 27 tahun lalu - mengakui kadangkala beliau memutuskan untuk tidak menemui doktor dan sekadar bergantung kepada ubat seperti Panadol dan koyok bagi melegakan rasa sakit.

"Sinus saya ini kritikal. Ingatkan flu biasa saja dan saya cuma makan Panadol. Tetapi lama-lama berbau busuk dan saya susah bernafas. Apabila sakit kepala saya begitu menekan sampai saya tidak tahan lagi barulah saya ke KTPH (Hospital Khoo Teck Puat)," singkap Ustaz Mohamad Hamzah yang kemudian terpaksa dibedah.

Menurut beliau, beliau juga telah berhabis ribuan dolar untuk menangani masalah psoriasis.

Malah, sejak akhir tahun lalu juga beliau tidak lagi menggunakan ubat semput.

"Skim ini saya rasa bagus kalau masyarakat tahu supaya dapat hulurkan bantuan kepada asatizah. TAA (Tabung Amal Aidilfitri) untuk golongan umum dan tidak khusus kepada asatizah. Memang ada asatizah kita yang sakit dan perlukan bantuan tapi mereka tidak ke depan mungkin kerana segan.

"Sumber pendapatan asatizah pun tidak setinggi mana. Gaji saya sendiri lepas ditolak duit sekolah anak-anak, krim psoriasis saya, keperluan rumah dan sebagainya, saya ada dalam $80 duit untuk belanja sendiri dalam sebulan. Itu pun saya gunakan untuk tambah nilai kad EZ-Link," tambahnya.

Bagi melayakkan diri sebagai penerima zakat asnaf fisabillah, asatizah perlu mempunyai jumlah maksimum $450 bagi setiap pendapatan per kapita - iaitu pendapatan bulanan yang dibahagi rata mengikut jumlah penghuni di dalam rumah.

Buat masa ini Pergas membantu 21 asatizah setiap bulan. Jumlah bantuan yang mereka terima adalah antara $200 dengan $400 sebulan. Di samping bantuan kewangan, mereka turut menerima barangan runcit bernilai $50.

"Kami bermohon kepada orang ramai agar tampil jika mereka tahu sebarang asatizah setempat yang mungkin memerlukan bantuan," ujar Ustazah Nurul Hidayah.

Derma untuk menyokong usaha ini boleh dibuat melalui wang tunai dan cek di pejabat Pergas yang terletak di 448 Changi Road, Wisma Indah, #03-01, Singapura 419975. Orang ramai juga boleh menderma secara elekronik melalui PayPal di laman web www.pergas.org.sg.

Untuk keterangan lanjut, hubungi talian Pergas di 6346-9350.

 

- Berita Minggu, 25 Disember 2016